APMM Tahan Bot Nelayan Asing Kaut 3 Tan Hasil Laut Sabah 

APMM Tahan Bot Nelayan Asing Kaut 3 Tan Hasil Laut Sabah 

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Labuan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang disyaki sebagai kapal induk atau ‘mother ship’ penangkapan sotong di perairan sini Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata melalui penugasan Op Kuda Laut 03/2021, bot nelayan asing terbabit telah dikesan oleh KM ARAU ketika sedang leka mengaut hasil laut negara di kedudukan lebih kurang 118 batu nautika Barat Laut Tanjung Simpang Mengayau sekitar jam 12 tengahari.

“Semasa proses penahanan dan penangkapan dilakukan, bot nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan melanggar dan merempuh KM ARAU sehingga berlakunya kerosakan pada bot nelayan asing itu. 

“KM ARAU turut mengalami kerosakan kecil namun usaha penahanan berjaya dilakukan…

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati 41 kru termasuk tekong, berusia lingkungan 18 ke 58 tahun, warga Vietnam mengoperasikan bot terbabit. 

“Pemeriksaan dokumentasi mendapati bot nelayan asing terbabit beroperasi di perairan negara secara haram apabila gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan. Selain itu, sebanyak 3 tan hasil laut turut ditemui,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bot ini beroperasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap sotong sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk.

“Bot nelayan asing terbabit disyaki merupakan bot induk berdasarkan kepada bilangan kru, saiz bot serta muatan yang dibawa namun siasatan lanjut akan dilakukan bagi tujuan pengesahan. 

“Bot, kru, serta kesemua hasil laut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM 1.5 juta dan sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah,” tambah Maurice.