KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah syarikat dari Singapura menyatakan hasrat untuk menambah pelaburan dalam sektor pelancongan di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata syarikat terbabit bercadang untuk membangunkan sebuah resort dilengkapi dengan kemudahan hotel bertaraf lima bintang dan juga taman tema.
“Walaubagaimanapun, Kementerian akan meneliti terlebih dahulu cadangan untuk membangunkan resort, memandangkan syarikat terbabit memilih kawasan yang berada dibawah pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS).
“Kita perlu melihat perkara ini terlebih dahulu termasuk melihat bagaimana pendekatan terbaik dalam membawa pelaburan ke tempat berkenaan kerana ia adalah kawasan taman yang dilindungi,” katanya.
Ia antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pengerusi Eksekutif, GSH Corporation, Datuk Sam Goi ketika berada di negara jiran itu baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, hasrat untuk membangunkan taman tema pertama di Sabah juga turut dibincangkan.
Jelasnya, industri taman tema semakin meningkat dan dengan adanya pelabur luar yang mahu membangunkan taman tema, beliau berharap di masa akan datang negeri Sabah juga mempunyai taman tema yang setanding dengan Desaru Coast dan Legoland Malaysia.
Jafry berharap ia mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada kerajaan negeri Sabah terhadap perancangan mereka untuk melabur di negeri itu.
“Ini adalah satu ruang dan peluang untuk Sabah kerana ia bukan sahaja mampu membawa lebih ramai pelancong tetapi juga akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus merancakkan lagi ekonomi negeri Sabah,” tambahnya.





