RANAU, SABAH – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diminta untuk segera melengkapkan profil kampung masing-masing.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Dr. Joachim Gunsalam, menyatakan ini semasa merasmikan Program Pemantapan Pemimpin Peringkat Kampung Mukim Melinsau, di sini, kelmarin.
“Terdapat 85 buah kampung berdaftar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang mempunyai enam mukim.
“Mukim Melinsau merupakan mukim pertama melaksanakan program ini yang juga akan dilaksanakan di lima mukim yang seterusnya. Syabas di atas kemenjadian program ini,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.
Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan peserta program berkenaan, kelmarin…
Tambahnya, profil kampung penting untuk mengenal pasti jumlah penduduk kampung serta masalah-masalah berhubung air, elektrik, jalan kampung dan lain-lain…
Lebih 30 orang menyertai program anjuran Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.36 Kundasang yang terdiri daripada Ketua-ketua Kampung serta Pengerusi dan Setiausaha JPKK.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Kepuakan, Kg. Mokodou, Kg. Tanid, Kg. Sumbilingon, Kg. Linapasan, Kg. Nasakot, Kg. Wayan, Kg. Magkapoh, Kg. Tinaum dan Kg. Sinurai.
Dr. Joachim juga mengingatkan Pengerusi JPKK untuk membuat permohonan yang melibatkan pembangunan kampung di Pejabat Daerah dan UPPM Kundasang.
Agenda pentadbiran kampung, pembangunan kampung, serta pembayaran gaji JPKK dan Ketua Kampung turut dibincangkan di acara tersebut.
Hadir sama ialah Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Fabian Singgawan, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo dan kakitangan UPPM Kundasang.