TUARAN: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui meninggal dunia selepas dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Kampung Shahbandar, pada petang Ahad lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 5.23 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dengan kekuatan sembilan anggota digerakkan ke lokasi. Pasukan turut dibantu empat anggota dari BBP Kota Kinabalu.
Komander Operasi, PBK II Adinin Kuta berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Surface Searching di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga telah diarahkan bergerak ke lokasi bagi membantu operasi pencarian,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pada jam 7.05 malam, mangsa berjaya ditemui oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 7.34 malam. Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi berkenaan yang melibatkan 14 anggota bomba dengan kekuatan logistik jentera FRT, EMRS, D-Max dan Hilux ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.50 malam.
JBPM Sabah merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti air bersama keluarga.






