TAMBUNAN: Pendirian Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu kepentingan Sabah diutamakan berbanding ego politik disambut baik, selari dengan empat prinsip utama gabungan itu iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper.
Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Victor P Paut berkata, empat prinsip berkenaan juga perlu diterjemahkan melalui teladan kepimpinan serta tindakan nyata demi kepentingan rakyat.
Pada masa sama katanya, prinsip itu juga perlu dilaksanakan secara konsisten dari peringkat kepimpinan tertinggi hingga ke akar umbi iaitu bermula dari atas ke bawah atau top-down, dengan pemimpin menunjukkan teladan terlebih dahulu sebelum diamalkan ahli di peringkat bahagian, daerah dan cawangan.
“Sabah First bermaksud mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat, Sabah United menekankan perpaduan, Sabah Forward membawa agenda kemajuan, manakala Sabah Prosper memastikan kemakmuran dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Prinsip ini juga harus diterjemah dari ‘top to bottom’ dan bukannya ‘bottom to top’ iaitu bermula daripada kepimpinan terlebih dahulu sebelum ke ahli-ahli kerana atas adalah contoh kepada akar umbi, sebab itu saya sambut baik pendirian YAB (Hajiji) mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hajiji dalam ucaptamanya sempena Konvensyen GRS di Kudat, Ahad lalu menegaskan bahawa GRS perlu mengutamakan kepentingan Sabah dan perpaduan gabungan itu berbanding kepentingan parti atau individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.
Katanya, kekuatan Sabah untuk mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kukuh di peringkat Persekutuan, perlu bermula dengan perpaduan dalam GRS sendiri, bukannya dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan ego politik.
Dalam perkembangan sama, Hajiji sebelum ini turut memaklumkan GRS mensasarkan sekurang-kurangnya 16 daripada 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Victor yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera itu berharap Parlimen Keningau turut tersenarai dalam sasaran 16 kerusi yang mahu ditandingi GRS bagi membuka ruang kepada pembaharuan dan pembangunan lebih strategik di kawasan itu.
Beliau berkata, aspirasi menjadikan Keningau sebahagian daripada sasaran GRS itu juga perlu dilihat dalam konteks usaha memperkukuh pembangunan Sabah, terutama kawasan pedalaman yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
Ini kerana katanya, Keningau mempunyai potensi besar untuk dimajukan, namun memerlukan pendekatan pembangunan lebih menyeluruh bagi merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.
“GRS boleh menang (kerusi Parlimen Keningau) dan kepercayaan ini bukan sekadar keyakinan, tetapi turut disusuli kerja keras di akar umbi sejak sekian lama yang kini telah menunjukkan hasil.
“Keningau memerlukan pembaharuan dan pembangunan yang lebih strategik kerana kemajuannya masih di takuk lama, sedangkan kawasan ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan,” tegasnya.
Kerusi Parlimen Keningau kini diwakili Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan yang memenanginya pada PRU15 tahun 2022, namun keluar daripada GRS sebelum PRN17 lalu.






