KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat negeri ini diminta menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan berhubung berita tular dalam media sosial mendakwa terma panggilan Sabah dan Sarawak ditukar kepada ‘Wilayah’ yang berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ini kerana pengumuman mengenai perkara besar dan penting seperti itu harus datang daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau pihak berkuasa yang sewajarnya.
Malah, katanya, beliau sendiri tidak mengetahui siapa yang menyebarkan berita itu dalam media sosial atau punca maklumat berhubung perkara berkenaan.
“Namun jika bukan datang daripada JPM atau pihak lain yang ada ‘locus standi’, jangan percaya…
“Kita tunggu saja perkembangan lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menjelaskan, isu penggunaan istilah ‘Wilayah’ untuk Sabah dan Sarawak memang ada disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengadakan lawatan ke Sarawak, minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, belum ada kata putus mengenai perkara itu kerana ia memerlukan penelitian lanjut, termasuk untuk membezakan istilah ‘Wilayah’ bagi Sabah dan Sarawak dengan yang sedang digunakan pada Labuan.
“Perdana Menteri dalam lawatannya ke Sarawak, baru-baru ini, ada menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak bukan negeri tetapi lebih tinggi, iaitu wilayah.
“Wilayah yang dimaksudkan ialah dalam konteks penubuhan Malaysia di mana ada tiga wilayah, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu bercantum membentuk federasi (persekutuan). Ini bererti ia tidak setaraf dengan negeri di Semenanjung, sebab itu disebut wilayah. Namun, ada kekeliruan sebab Labuan juga disebut wilayah. Justeru, ia perlu dilihat sebagai satu interpretasi berbeza.
“Istilah ‘Wilayah’ bagi Labuan adalah lebih rendah daripada negeri. Namun, istilah ‘Wilayah’ bagi Sabah adalah lebih tinggi daripada negeri di Semenanjung dalam konteks penubuhan Malaysia,” katanya.
Jeffrey turut berpandangan pada masa akan datang, ketiga-tiganya hanya perlu disebut Sabah, Sarawak dan Semenanjung tanpa negeri, bagi menepati maksud setaraf dalam konteks penubuhan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak timbul persoalan baik ataupun buruk berhubung penggunaan istilah ‘Wilayah’ untuk Sabah dan Sarawak.
“Istilah itu adalah untuk membezakan Sabah dan Sarawak dengan negeri lain di Semenanjung. Kita tidak sebut Negeri Sabah atau Negeri Sarawak tetapi kita sebut perkongsian sama taraf dengan Semenanjung…
“Tiga entiti ini, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung, adalah setaraf tidak kira sama ada istilahnya disebut wilayah ataupun apa. Yang penting ialah maksud menunjukkan ketiga-tiganya adalah setaraf,” katanya.