TAMBUNAN, SABAH – Seorang lelaki melecur di bahagian badan selepas bertindak membakar rumahnya sendiri ketika hangat bertengkar dengan isteri di Kampung Lotong sini semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa kejadian kira-kira 10.30 malam itu berumur 62 tahun.
“Menurut saksi, badan mangsa melecur terkena api ketika sedang menyalakan api…
“Akibat kejadian itu, rumahnya musnah dijilat api selain sebuah kenderaan rosak.

“Mangsa melecur di bahagian badan sebanyak 40 peratus manakala isteri mangsa selamat kerana tidak berada di lokasi kejadian,” katanya kepada wartawan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah pula melaporkan kenderaan terbabit merupakan sebuah Isuzu D-Max.
“Sebuah rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 20×30 kaki musnah manakala kenderaan terbakar 30 peratus.
“Jentera Bomba mengalami kesukaran ke lokasi rumah yang terlibat kerana laluan yang sempit dan terpaksa menggunakan Utiliti Vigo sejauh 2KM dari jalan besar.
“Seorang mangsa lelaki yang dilaporkan kurang siuman telah mendapat rawatan awal oleh Pasukan EMRS di lokasi kejadian.
“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan Jentera EMRS untuk mendapat rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 11.10 malam dan ditamatkan sejam selepas itu.
Kes masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih belum diketahui.