21 Pelajar IPTA, IPTS Terima Bantuan TPNS

21 Pelajar IPTA, IPTS Terima Bantuan TPNS

0
SHARE
Arifin
Ariffin (belakang, tengah) bergambar kenangan bersama penerima bantuan TPNS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 21 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) menerima bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, penyerahan sumbangan berkenaan kali ini merupakan siri yang ketujuh membantu keperluan pelajar dari segi yuran juga keperluan sesi pembelajaran.

“Hari ni (semalam), kita menyampaikan sumbangan TPNS kepada 21 pelajar di dalam dan luar negeri yang memerlukan bantuan khususnya dari segi yuran mereka.

“Setiap kali penyampaian, kita akan bermesyuarat dan kita luluskan mana yang layak, kita akan mengadakan mesyuarat sekerap mungkin agar mereka, anak-anak ini yang memerlukan bantuan, dapat kita bantu dengan segera.

“Alhamdulillah pada hari ini lebih RM200,000 kita luluskan tambahan untuk pelajar yang memohon.

“TPNS yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kini telah membantu lebih daripada 8,000 pelajar sejak tahun lalu sehingga hari ini dan telah membelanjakan lebih kurang RM8 juta daripada tabung berkenan untuk manfaat pelajar-pelajar tersebut dari segi keperluan mereka,” ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bantuan TPNS dan Bantuan Cermin Mata TPNS di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada Selasa.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan simbolik penyampaian Bantuan Cermin Mata TPNS kepada 15 pelajar sekolah menengah.

Menurut Ariffin, laporan yang diterima daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mendapati lebih 4 ribu pelajar di Sabah memerlukan bantuan cermin mata untuk proses pembelajaran mereka di sekolah dan di rumah.

“Sehubungan itu, pada hari ini, secara simbolik kita juga menyampaikan cermin mata atau kaca mata kepada 15 pelajar yang menghadapi bermasalah penglihatan masa belajar.

“Seperti yang dicadangkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, keutamaan diberi kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan bagi membolehkan mereka dapat mengulang kaji pelajaran dengan lebih baik seterusnya mendapat pelajaran atau pengajaran daripada guru mereka dengan baik,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin. — JABATAN PENERANGAN SABAH