RANAU: Seorang wanita terperangkap selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 meter dalam kemalangan di Kampung Mumpait, Ranau, petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.09 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.
“Mangsa wanita berusia lingkungan 50-an masih berada di dalam kenderaan dan tidak dapat keluar sendiri.
“Mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke kawasan selamat,” katanya melalui kenyataan.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk dihantar ke Hospital Ranau bagi pemeriksaan lanjut.






