KO-NELAYAN Bakal Laksana Lapan Program dan 28 Projek Bawak RMK-13

KO-NELAYAN Bakal Laksana Lapan Program dan 28 Projek Bawak RMK-13

0
SHARE

KOTA KINABALU: KO-NELAYAN diperuntukkan RM108,488,260 untuk melaksanakan lapan program dan 28 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar yakin pelaksanaan tersebut mampu memberi impak terbaik kepada nelayan laut dan nelayan darat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada KO-NELAYAN kerana berjaya membelanjakan kira-kira 90 peratus daripada peruntukan berjumlah RM39,786,259, sekali gus memberi impak melalui pelaksanaan pelbagai projek di bawah KO-NELAYAN.

Berucap merasmikan Malam Apresiasi KO-NELAYAN 2026 di Hotel Marriott Kota Kinabalu semalam, Jamawi turut menegaskan kepada semua ketua jabatan supaya mengurangkan masa di pejabat dan lebih banyak berada di lapangan.

“Di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, kita perlu turun padang, menyelesaikan masalah pelanggan dan membantu mereka mengusahakan yang terbaik supaya dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berharap hubungan kerjasama yang erat dan kukuh dalam kalangan warga KO-NELAYAN terus diperkasakan bagi memastikan organisasi itu mencapai kecemerlangan.

“Dalam tempoh lebih kurang lima tahun perkhidmatan saya sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga nelayan dan petani, sekurang-kurangnya akan ada impak berkesan untuk mereka menambah pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, kementeriannya memberi penekanan terhadap usaha memperkasa inisiatif seperti Inisiatif Kebun Dapur.

“Pelaksanaan inisiatif kebun dapur bukan sekadar pemberian subsidi, tetapi galakan dengan memberi peluang kepada mereka mendapatkan bahan tanaman pada diskaun terbaik,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua yang hadir untuk berkunjung ke program Inisiatif Kebun Dapur yang akan diadakan di Tuaran bermula hari ini hingga esok (15 Feb) dan akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Jamawi berkata, pada hari ini (14 Feb) beliau bersama isteri akan mengadakan demonstrasi cantuman pokok buah-buahan di Padang Istiadat, Tuaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KO-NELAYAN atas jemputan ke majlis tersebut serta mengucapkan tahniah kepada Kelab KO-NELAYAN yang menjayakan penganjuran program itu.

Jamawi berkata, penganjuran Malam Apresiasi KO-NELAYAN ini bukan sahaja menjadi platform menghargai warga kerja, malah mengeratkan hubungan silaturrahim yang menjadi asas kecemerlangan perkhidmatan organisasi itu.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025.