Nizam Bangkit Isu Air Tawau Dalam Kabinet, Hajiji Arah Tindakan Proaktif

Nizam Bangkit Isu Air Tawau Dalam Kabinet, Hajiji Arah Tindakan Proaktif

0
SHARE

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membangkitkan isu gangguan bekalan air di Tawau dalam Mesyuarat Kabinet Sabah, sekali gus mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengarahkan tindakan lebih proaktif diambil bagi membantu penduduk terjejas.

Nizam berkata, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, 21 Oktober, susulan keadaan kering dan kekurangan hujan berpanjangan yang menjejaskan bekalan air mentah untuk dirawat serta disalurkan kepada pengguna.

Katanya, susulan perbincangan itu, Hajiji mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya memastikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil tindakan lebih proaktif dalam menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.

“Saya telah membangkitkan isu ini dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu, 21 Oktober lalu, berhubung keadaan kering dan kekurangan hujan yang berpanjangan sehingga menjejaskan bekalan air mentah untuk dirawat dan disalurkan kepada pengguna.

“Susulan perbincangan itu, Ketua Menteri telah mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya JANS mengambil tindakan lebih proaktif dalam menghantar bekalan air melalui lori tangki ke kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam turut memberi jaminan untuk memastikan Pengarah JANS memantau keadaan berkenaan.

Menurutnya, segala keupayaan yang tersedia akan digerakkan bagi menyalurkan bekalan air kepada penduduk terjejas, termasuk melalui penghantaran menggunakan lori tangki.

Sementara itu, Nizam berkata, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan masalah kualiti air mentah Sungai Tawau.

Katanya, walaupun hujan telah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai dengan ketara.

“Pemantauan dan proses rawatan diteruskan bagi memastikan air yang dibekalkan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, penghantaran bantuan bekalan air melalui lori tangki juga sedang dilaksanakan dan akan diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa.

Menurutnya, penyelarasan penghantaran bekalan air itu terus diberikan perhatian bagi membantu mengurangkan kesulitan penduduk yang masih berdepan gangguan.

Nizam turut menegaskan bahawa tumpuan segera ketika ini adalah memastikan keperluan harian penduduk dapat dipenuhi sepanjang tempoh gangguan bekalan air berkenaan.

“Saya akan terus berhubung dengan kementerian dan JANS bagi menyampaikan keperluan penduduk serta mendapatkan perkembangan mengenai penghantaran bantuan dan keadaan bekalan semasa,” katanya.