Bung Tegas Pindahkan Penduduk Berhampiran Sungai Kinabatangan, Elak Risiko Banjir

Bung Tegas Pindahkan Penduduk Berhampiran Sungai Kinabatangan, Elak Risiko Banjir

0
SHARE
Bung
Bung menaiki sampan bagi meninjau keadaan banjir di sekitar Kampung Pengkalan Bukit Garam

KINABATANGAN, SABAH – Ahli Parlimen Kawasan Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal dengan saranannya agar penempatan baharu dapat diwujudkan bagi penduduk kawasan berhampiran sungai bagi mengelakkan mereka terjejas akibat banjir.

Katanya, di kawasan Kampung Pengkalan Bukit Garam, sini, merupakan antara kampung yang terjejas teruk apabila banjir berlaku.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka namun boleh mendatangkan bahaya sekiranya banjir besar berlaku.

“Sebelum ini saya telah menyarankan agar penempatan baharu perlu diwujudkan bagi penduduk di kawasan ini. Bagimanapun, ianya tidak mendapat maklum balas yang positif dari mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 50 ketua isi rumah di kampung Pengkalan Bukit Garam dan Muhibah Tengah, Sabtu lepas.

Dalam kejadian banjir yang berlaku di Pengkalan Bukit Garam, seramai lima keluarga ditempatkan di balai raya kampung berkenaan ekoran rumah kediaman mereka ditenggalami air.

Bagaimanapun, keadaan banjir ketika ini dilaporkan semakin surut.

Menurut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag , beliau sebelum ini telah mengemukakan cadangan untuk menempatkan penduduk tersebut ke kawasan baharu yang telah dikenal pasti.

Namun, maklum balas negatif dari penduduk menyebabkan rancangan itu tergendala.

“Saya akan ulangi saranan ini dan berharap Pejabat Daerah dapat mengenal pasti kawasan sesuai dan selamat bagi penempatan semula penduduk yang terlibat.

“Saya juga berharap kerajaan dapat mencari keadah dan pendekatan yang sesuai agar cadangan ini dapat direalisasikan agar aspek keselamatan penduduk terjaga,” katanya.

Disamping itu, beliau turut berharap agar Pejabat Daerah dapat melaksanakan kajian terlebih dahulu ke atas lokasi baharu sebelum mengemukakan laporan kepada pihak atasan.