Inkues Zara: Zara Tidak Disukai Kerana Selalu Catat Nama Pelajar Tidak Solat...

Inkues Zara: Zara Tidak Disukai Kerana Selalu Catat Nama Pelajar Tidak Solat – Saksi

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-7 dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ke-17 memberitahu mahkamah bahawa sebahagian pelajar asrama tidak menyukai perwatakan Zara kerana kebiasaannya mencatat nama pelajar yang tidak menunaikan solat berjemaah di musolla.

Saksi yang memberi keterangan sebagai Deponen Ke-15 menjelaskan bahawa Zara dikenali sebagai seorang pelajar ceria, mudah bertegur sapa, dan sering menegur rakan secara baik. 

Menurut peguam keluarga Zara, Rizwandean M Borhan berkata, Zara turut diketahui mempunyai cita-cita menjadi Badar (pengawas surau).

“Ada pelajar yang tidak suka dengan Zara sebab Zara selalu catat nama siapa yang tidak solat berjemaah,” jelasnya menurut saksi.

Saksi turut menceritakan bahawa Zara rapat dengan seorang pelajar senior yang dianggapnya seperti kakak sendiri dan merupakan “favourite senior” Zara.

Menurut saksi, sekitar jam 10.20 malam pada 15 Julai 2025, Zara telah mengetuk pintu dorm saksi, memberi salam dan meminta izin untuk masuk.

Zara kemudian berbual dengan seorang pelajar berhubung satu kes kecurian barang di dorm tersebut.

Saksi menggambarkan Zara dalam keadaan ketakutan ketika itu.

Tidak lama selepas itu, empat orang pelajar lain masuk ke dorm dan terus menuju ke arah Zara yang duduk bersila di lantai.

Seorang daripada pelajar tersebut telah menengking Zara dengan kuat sambil mengeluarkan kata-kata kesat “sial”, manakala pelajar lain turut menegur Zara dengan nada garang.

Situasi itu membuatkan Zara menangis, namun ahli dorm lain tidak berani menenangkan keadaan.

Saksi berkata, beberapa pelajar dorm Zara telah memeriksa loker almari Zara dan menemui pin bendera milik pelajar lain dalam begnya, yang menjadi punca kemarahan pelajar-pelajar tersebut pada malam kejadian.