Hamid Ismail Kini Dilantik Pesuruhjaya Kehakiman

Hamid Ismail Kini Dilantik Pesuruhjaya Kehakiman

0
SHARE

KOTA KINABALU, 30 September – Hamid Ismail, peguam yang pernah mewakili keluarga pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, kini dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi pada Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan serta Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia, yang turut disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais; dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Hamid, lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memulakan kerjaya sebagai peguam pada September 2001.

Beliau menimba pengalaman di beberapa firma guaman sebelum menubuhkan firma sendiri pada Julai 2004.

Pada majlis sama, dua lagi tokoh perundangan turut mengangkat sumpah sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, iaitu Steve Ritikos dan Ratanah Devi Yusof Perumal.

Steve, berasal dari Sarawak, pernah berkhidmat sebagai Majistret di Kuala Lumpur sejak Disember 1991.

Beliau juga pernah mengetuai Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, sebelum bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kuching pada 2009.

Pada 2014, beliau dilantik Hakim Mahkamah Sesyen, seterusnya Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuching pada April 2021.

Sementara itu, Ratanah Devi memulakan kerjaya guaman pada Februari 2001.

Beliau berkhidmat di beberapa firma sebelum menubuhkan firma sendiri pada 2018.