BUNUH DIRI SELEPAS DITIPU “PHONE SCAM”

BUNUH DIRI SELEPAS DITIPU “PHONE SCAM”

0
SHARE

TEMERLOH, PAHANG – Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah pondok di dusun durian terletak di Jalan Felcra Kerdau di sini setelah ditipu ‘phone scam’ yang menyebabkan wang simpanannya sebanyak RM156,000 hilang.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.23 tengah hari Khamis semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa menggantung diri selepas terpedaya sindiket penipuan telefon yang menyamar menjadi wakil syarikat kurier dan juga polis…

“Difahamkan mangsa mengalami kerugian besar dan susulan kejadian itu, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan berhubung kematian mengejut,” kata Azhar menerusi kenyataan dikeluarkan awal hari ini.

Azhar menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, dan tidak panik sekiranya menerima sebarang panggilan telefon yang meragukan.

Beliau berkata, supaya orang ramai tidak terpedaya dan menjadi mangsa penipuan seperti itu, mereka perlu menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket sedemikian.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan membuat pertanyaan berhubung jenayah komersial melalui WhatsApp dengan menghubungi Talian Info JSJK di 013-2111222 atau menghubungi Pusat Respons Penipuan JSJK di talian 03-26101599 atau 03-2610 1559,” katanya.