KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menggesa penyelesaian menyeluruh isu tanah adat masyarakat Murut di Tenom, khususnya melibatkan kawasan Ladang SD Guthrie di Sapong yang masih belum diiktiraf sebagai milik komuniti asal.
Dalam perbahasan Laporan SUHAKAM 2023 di Dewan Rakyat, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan ADUN Kemabong atas usaha memulangkan 15,000 hektar tanah adat bekas milik SFI kepada masyarakat Murut.
Riduan mengimbas penindasan era kolonial yang merampas tanah subur Murut dan menindas komuniti mereka sebagai buruh paksa.
“Moyang saya, Aki Pulangga bersama Ontoros Antanom bangkit melawan. Ramai terkorban,” katanya.
Beliau turut menyatakan ramai bekas pekerja Murut dan Lundayeh masih tiada rumah sendiri walaupun lama berkhidmat di ladang.
Riduan menggesa SD Guthrie dan kerajaan kembalikan tanah tidak diusahakan kepada komuniti asal serta memperuntukkan 500 ekar sebagai tapak perkampungan.
Beliau mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Tanah Adat Sabah (MAPTAS) bagi menyelaras isu tanah adat, selain semakan Ordinan Tanah Sabah dan pindaan Kanun Tanah Negara untuk memasukkan definisi menyeluruh tanah adat.
“Penjajah dulu mahu melenyapkan Kaum Murut. Tapi hari ini suara kami bergema di Dewan Rakyat,” tegasnya.






