PUTATAN, SABAH – Golongan wanita diminta menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai amalan baharu bagi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, golongan wanita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi membolehkan perkembangan kesihatan mereka dipantau.
Katanya, golongan wanita perlu menjaga kesihatan dari awal termasuk melakukan pemeriksaan payudara bagi mengekang kelewatan aspek perawatan.
Jelasnya, kanser payudara tidak boleh dipandang remeh kerana penyakit itu merupakan pembunuh utama wanita dengan risiko lima kali ganda kepada wanita yang mempunyai sejarah iaitu ibu atau adik beradik perempuan sebagai penghidap kanser payudara.
“Melalui pemeriksaan berkala, seseorang wanita itu bukan sahaja dapat mengesan lebih awal sebarang kemungkinan kanser malah mendapatkan rawatan awal yang amat penting dalam menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Pemantapan Pentadbiran anjuran Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah di Platinum Hotel Putatan, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah, Lawrence Libur Imui, pengerusi penganjur Tinah Norjana serta 17 orang penyelaras daripada seluruh Sabah.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu telah dihadiri seramai 14 orang peserta.
Disamping itu, Redonah turut berkata golongan paling tinggi berisiko menghidap penyakit ini adalah kumpulan umur 40 hingga 49 tahun dan 50 hingga 59 tahun.
Katanya, sikap tidak ambil tahu, pengetahuan yang cetek mengenai kanser serta lewat mendapatkan rawatan menjadi punca kepada peningkatan kadar kematian dalam kalangan wanita di negeri ini.
“Kanser menjadi punca utama kematian dan kecacatan yang memberi kesan kepada lebih daripada 14 juta orang setiap tahun dan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kira-kira 100,000 rakyat menderita kerana kanser,” katanya.
Beliau berharap setiap anggota masyarakat dan agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu Kementerian Kesihatan dengan menganjurkan kempen kesedaran mencegah kanser payudara.
Sehubungan itu katanya, amat penting bagi kaum wanita mengawasi kesihatan diri dengan menjalani pelbagai jenis pemeriksaan kesihatan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga keluarga.





