KOTA KINABALU, SABAH – Tuduhan Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Junz Wong bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengerakkan usaha menyebabkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan parti itu, baru-baru ini disifatkan tidak boleh diterima.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kenyataan Junz menunjukkan bahawa beliau naif tentang kelemahan partinya sendiri.
Baru-baru ini, dilaporkan tiga ADUN WARISAN terbabit telah mengumumkan bahawa mereka meninggalkan parti itu kerana hilang keyakinan terhadap halatuju parti itu serta mengambil kira pandangan akar umbi masyarakat di kawasan yang mereka wakili.
“Rakyat bosan dengan tindakan pemimpin parti itu yang sentiasa mencipta pelbagai polemik dan ketidakstabilan politik di Sabah sehingga memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.
“Sepatutnya, selepas majoriti rakyat Sabah membuat keputusan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) -16 Sabah, maka kepimpinan WARISAN perlu menerimanya dengan lapang dada seterusnya memberi peluang pada parti yang diberi mandat untuk mengurus dan mentadbir demi pembangunan serta kemajuan rakyat dan negeri.
“Mereka sepatutnya mengambil peranan sebagai semak dan imbang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Disamping itu, Nizam berkata tuduhan kedua Junz mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selaku Pengerusi GRS, tidak ikhlas dalam membentuk kerajaan perpaduan paska Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) juga suatu yang bertentangan dengan tindakan pemimpin WARISAN sendiri.
“Bagaimana mungkin sebuah kerajaan perpaduan dapat dibentuk setelah Datuk Shafie Apdal bertindak mengheret Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama 12 ADUN UMNO dan 3 ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) pada 6 Januari lalu untuk menjatuhkan kerajaan Sabah yang dipimpin Hajiji dengan cara mengunakan pintu belakang?
“Jelas sekali Junz dan kepimpinan WARISAN yang tidak ikhlas dalam hal ini,” tegasnya.
Selain itu, Nizam turut menyifatkan Junz sebagai hipokrit apabila menyeru Suruhanjaya Pencegagahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tiga ADUN yang keluar dari parti itu.
“Sedangkan pada Mac 2022, dua ADUN (Elopura dan Sri Tanjung) selepas meninggalkan DAP juga menyertai WARISAN, Junz tidak pula minta SPRM melakukan perkara yang sama ketika itu. Ternyata beliau mengambil sifat seruan berpilih dalam hal ini.
“Kerajaan Sabah yang dipimpin oleh Hajiji telah menunjukkan prestasi yang baik dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (2020-2025) yang jelas dan terbuku.
“Kutipan hasil yang meningkat, pelaburan yang meningkat, pemulihan ekonomi menerusi pertumbuhan positif serta pencapaian dalam merealisasi perkara-perkara yang berkaitan dengan MA63.
“Semua pencapian ini adalah suatu manifestasi pengurusan dan pentadbiran negeri yang cemerlang. Justeru itu, tidak hairanlah jika ada lagi ADUN pembangkang akan keluar parti mereka dan menyatakan sokongan kepadanya dalam masa terdekat ini,” katanya.