KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri bersama Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bakal
menyelaraskan urusan penghantaran pulang 63 jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.
Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan kedua-dua kementerian terbabit, Kementerian Luar Negeri mengesahkan jumlah jemaah yang terkandas itu seramai 63 orang terdiri daripada 28 orang dewasa dan 35 orang kanak-kanak.
“Kesemua jemaah ini telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac lepas…
“Walau bagaimanapun, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah.
“Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas,” jelas dalam kenyataan itu.
Oleh itu, kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan.
“Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat…
“Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” jelasnya.





