PETALING JAYA – Fenomena ribut petir beserta hujan lebat bakal melanda lima negeri termasuk Sabah yang dijangka berlaku sehingga pukul 5 petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, penduduk di Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, dan Sarawak diingatkan untuk terus berwaspada dengan keadaan cuaca pada petang ini.
“Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat…
”Manakala, di Pahang, cuaca buruk juga diramalkan di Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin,” katanya.
Tambah MetMalaysia, cuaca buruk itu turut tertumpu di beberapa kawasan Jelebu dan Jempol di Negeri Sembilan.
“Di Johor, kawasan diramalkan mengalami hujan lebat dan ribut petir di Pontian dan Kulai manakala di Sarawak melibatkan kawasan Miri (Miri dan Marudi),” jelasnya.





