Shafie Ketua Menteri Pintu Belakang Pertama Sabah, Cetus Krisis Perlembagaan Negeri Pada...

Shafie Ketua Menteri Pintu Belakang Pertama Sabah, Cetus Krisis Perlembagaan Negeri Pada 2018 – Clarence

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog dan kini Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah, Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun mengkritik keras bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sambil menyifatkan beliau sebagai “Ketua Menteri pintu belakang asal” yang mencetuskan krisis perlembagaan negeri pada 2018.

Dalam satu kenyataan mengulas artikel terbaru oleh aktivis politik, Daniel John Jambun bertajuk “Masa Depan Sabah Harus Ditentukan oleh Rakyat”, Clarence menyifatkan tulisan itu sebagai retorik tinggi tetapi kurang jujur terhadap realiti sejarah politik Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Clarence menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Tan Sri Musa Aman adalah pihak yang menang dan telah mengangkat sumpah secara sah sebagai Ketua Menteri selepas PRU14.

Namun, tindakan enam ADUN UPKO berpaling tadah membuka jalan kepada pelantikan Shafie oleh Yang di-Pertua Negeri, tanpa undi percaya rasmi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dua Ketua Menteri mengangkat sumpah dalam tempoh 48 jam, ini bukan sejarah demokrasi, tetapi sejarah manipulasi,” katanya.

Beliau menyifatkan pelantikan Shafie ketika itu sebagai rampasan kuasa politik yang menjejaskan keyakinan terhadap institusi demokrasi dan Perlembagaan Negeri Sabah.

Menurut Clarence, pentadbiran Warisan selama 24 bulan dipenuhi isu penyalahgunaan kuasa termasuk nepotisme, pelantikan berasaskan kesukuan dan dakwaan berkait dengan pemberian kad pengenalan secara tidak sah yang menimbulkan keresahan rakyat.

Beliau turut menyentuh isu pembatalan projek infrastruktur penting seperti Loji Rawatan Air Telibong 2 dan pembubaran model Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk Lebuhraya Pan Borneo, yang didakwanya menjejaskan pembangunan Sabah secara langsung.

“Ini bukan reformasi seperti yang dijanjikan, ini kemunduran yang dibalut dengan retorik populis,” tegas beliau.

Clarence juga menuduh Shafie sebagai hipokrit politik kerana cuba menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor pada tahun 2023 menerusi pakatan dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin, ‘Langkah Kinabalu’, cubaan yang akhirnya gagal.

Beliau menyelar tindakan itu sebagai bukti bahawa Shafie sendiri tidak menghormati prinsip demokrasi yang sering dilaungkannya.

“Shafie melancarkan dua rampasan kuasa, tetapi Jambun hanya memilih untuk melihat satu sudut sahaja, ini adalah standard berganda yang memalukan,”katanya.

Clarence menggesa semua pihak supaya tidak terpedaya dengan “retorik romantik” yang cuba menulis semula sejarah politik Sabah.

“Jika kita benar-benar mahu menghormati demokrasi, kita mesti bermula dengan berkata benar. Rakyat Sabah berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan dongengan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar Sabah dipimpin oleh tokoh yang benar-benar jujur dan berwibawa, bukan sekadar beretorik tanpa rekod prestasi yang membina.