KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan bola sepak Sabah mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selepas membenam Penang FC 4-1 malam tadi di Stadium Likas.
Kemenangan itu menjadikan sabah kekal ditangga kedua liga dengan jumlah 39 mata yang mana masih rapat diekori Terengganu FC yang berada di tangga ketiga.
Penyokong skuad Sang Badak yang hadir malam tadi sangat gembira dan berpuas hati dengan kemenengan Sabah FC memandangkan ia adalah perlawanan terakhir Liga Super musim ini di Stadium Likas.

Pada perlawanan malam tadi, sol pertama Sabah hadir pada minit ke-32 hasil tandukan kapten pasukan, Badrol Bakhtir yang menerima hantaran lintang Alto Linus di hadapan gawang Pulau Pinang.
Pasukan pelawat yang ketinggalan 1-0 kemudian melakukan serangan balas dan hampir berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-35, namun digagalkan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya mendakap kemas bola.
Malang bagi Pulau Pinang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang importnya, Rafael Vitor dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Sabah, Saddil Ramdani pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, Pulau Pinang mengejutkan Sabah apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Adib Abdul Ra’op pada minit ke-70.
Namun, kegembiraan Pulau Pinang hanya seketika apabila pemain import Sabah, Park Taesu berjaya menambah gol kedua Sang Badak melalui tandukannya, kira-kira dua minit kemudian.
Sabah kemudian mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-78 hasil sepakan penalti yang diberikan pengadil apabila seorang pemain tuan rumah, N Thanabalan dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti Pulau Pinang.
Kedudukan 3-1 itu sudah cukup baik untuk Sabah memenangi perlawanan ketika aksi sudah di penghujung permainan, tetapi pemain Sabah masih belum puas untuk menambah derita Pulau Pinang.





