Jumlah Guru di Sabah Mencukupi, Pengisian Kekosongan Jawatan Capai 98 Peratus

Jumlah Guru di Sabah Mencukupi, Pengisian Kekosongan Jawatan Capai 98 Peratus

0
SHARE
Raisin merakamkan gambar kenangan bersama pelajar SMK Likas

KOTA KINABALU: Jumlah guru di Sabah setakat ini masih mencukupi dengan pengisian kekosongan jawatan guru yang kini sudah mencapai 98 peratus.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Sadin berkata, jumlah keseluruhan guru yang ada di Sabah ketika ini ialah, seramai 43,508 orang dengan 26,360 guru sekolah rendah dan 17,144 guru sekolah menengah.

“Kalau kita lihat jumlah kekurangan guru itu, bukan berlaku kekurangan besar di satu-satu sekolah, tetapi kekurangan itu berlaku di banyak sekolah. Mungkin sekolah ini kurang dua, sekolah ini kurang satu.

“Jadi jumlah ini bukan menggambarkan bahawa proses Pengajaran dan Pembelajaran (P and P) itu tidak dapat berjalan dengan baik. Kita mesti yakin bahawa dengan jumlah guru yang kita ada di Sabah sekarang ini, proses P and P boleh dilangsungkan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Ihya Ramadhan SMK Likas bersempena dengan Hari Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2024/2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya dari sudut keluar dan masuknya guru di sekolah adalah dinamik kerana ketika ada guru baru yang masuk lapor diri akan tetap ada guru yang akan bersara pula.

“Jadi proses ini akan sentiasa kita lihat supaya yang bersara itu dapat diganti. Ada juga dalam kalangan guru ini yang memilih untuk bersara dan kita akan memastikan guru itu dapat diganti dengan bekalan guru yang baru.

“Kita telah pun mendapat bekalan guru pada 7 Mac lalu di mana seramai 212 guru baru melaporkan diri dan insyaAlllah pada April ini nanti kita akan terima satu lagi kumpulan guru untuk memenuhi keperluan di sekolah-sekolah yang amat memerlukan,” katanya.

Tambah beliau, mata pelajaran yang kritikal memerlukan penambahan guru setakat ini adalah mata pelajaran Pendidikan Islam.