PAPAR, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa khas antara kementerian bagi menangani isu penyalahgunaan pas lawatan sosial serta risiko lambakan produk asing dalam negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa ini diselaraskan oleh Kementerian Kewangan dan melibatkan beberapa kementerian serta agensi termasuk KUSKOP, KDN, KPKT dan MITI.
“Penubuhan jawatankuasa ini penting kerana ia membolehkan penyelarasan undang-undang, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan, terutamanya bagi memastikan perniagaan PMKS tempatan tidak terjejas akibat penyalahgunaan pas lawatan sosial atau kemasukan produk asing yang tidak terkawal,” katanya.
Beliau menambah, PMKS tempatan sering membangkitkan kebimbangan mereka terhadap lambakan produk luar sama ada melalui import atau jualan dalam talian yang boleh menjejaskan pasaran tempatan dan keselamatan produk.
“Jawatankuasa ini juga selari dengan agenda kerajaan untuk mengutamakan pembelian barangan tempatan dalam pasaran tempatan,” ujar Armizan.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Februari lalu memutuskan penubuhan jawatankuasa khas ini sebagai tindak balas kepada isu yang dibangkitkan oleh wakil-wakil PMKS tempatan.






