Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berbincang mesra bersama Bishop Anglikan Diosis Sabah, The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu hari ini...
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRSBN) sentiasa berusaha mengekalkan hubungan yang baik dan mesra dengan semua badan agama di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, Kerajaan Negeri dibawah pimpinannya akan menegakkan dan melindungi kebebasan beragama, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Menghormati kepercayaan (agama) antara satu sama lain, sentiasa menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan kita di Sabah…
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cenderamata kepada Bishop Anglikan Diosis Sabah, The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais semasa menerima kunjungannya di pejabatnya…
“Walaupun berbeza agama dan bangsa, kita di Sabah dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni selama ini. Justeru, kita mesti melindungi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Bishop Anglikan Diosis Sabah, The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais dan rombongan di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan GRS-BN juga komited dan meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam dan sekolah-sekolah bukan Islam di negeri ini.
Menurutnya, dalam Belanjawan Negeri Sabah tahun 2022, jumlah peruntukan yang diluluskan untuk Pemberian Bantuan Kewangan Bagi Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam sebanyak RM27 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima cenderamata daripada Bishop Anglikan Diosis Sabah, The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais semasa kunjungan itu di pejabatnya…
“Setakat bulan Mei 2022, Sekolah-Sekolah Bukan Islam yang menerima bantuan kewangan melalui peruntukan khas Ketua Menteri sejumlah RM 2,403,150…
“Manakala Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam yang menerima bantuan kewangan melalui peruntukan khas saya, setakat Mei 2022 ialah sebanyak RM 1,730,000,” tambahnya.
Hajiji berkata, secara peribadi beliau dari keluarga berbilang kaum dan agama serta mengamalkan prinsip hormat menghormati dalam keluarga.
Beliau juga mengucapkan terima kasih diatas penghormatan dan jemputan sebagai tetamu kehormat Majlis Kesyukuran Ulang Tahun ke-60 Anglikan Diosis yang akan diadakan pada 31 Ogos nanti.
Sementara itu, Datuk Melter Jiki Tais berkata pihak gereja menyokong kerajaan hari ini dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam membangun negeri dan membantu rakyat.