Kerajaan Persekutuan Diingatkan Laksana MA63 Sebelum Julai 2024

Kerajaan Persekutuan Diingatkan Laksana MA63 Sebelum Julai 2024

0
SHARE
Datuk Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat sekali lagi diingatkan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebelum ini diumumkan bakal dilaksanakan sepenuhnya menjelang Julai tahun ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO) berkata, sepatutnya tumpuan pada ketika ini difokuskan kepada penyediaan mekanisme pelaksanaan dan bukannya masih di peringkat rundingan.

“Sebagai contoh, pelaksanaan ‘revenue sharing’ dalam Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu pemberian Hak Perlembagaan kepada Sabah untuk mendapatkan dua per lima ataupun 40 peratus daripada jumlah pungutan hasil persekutuan daripada Sabah.

“Walaupun perkara ini telah berkali-kali dibangkitkan di Dewan Yang Mulia ini, namun Hak Perlembagaan Sabah ini telah dinafikan sejak sekian lama.

“Namun, Tuaran tetap berharap agar jaminan pelaksanaan hak Sabah ini dilaksanakan sebelum Julai 2024 dapat ditunaikan seperti yang diumumkan,” katanya dalam ucapan perbahasan di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini pada Rabu (28 Feb).

Madius berkata, pada ketika kenyataan-kenyataan seperti, ‘kita adalah generasi pelaksana, oleh itu laksanakan saja MA63 tidak perlu lagi dirunding’ terus berkumandang, namun hakikatnya sehingga kini masih ada yang belum dilaksanakan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Dalam hal ini katanya, dua perkara yang perlu dielakkan iaitu proviso Perkara 112C tidak dikelirukan dengan proviso Perkara 112D.

“Pada Tuaran, Perkara 112D hanya berbangkit apabila Perkara 112C telah diterima dan diiktiraf sebagai hak Sabah dan kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya. Jika sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf dan tidak melaksanakan perkara 112C, maka perkara 112D tidak berbangkit.

“Tetapi apabila dibentangkan pewartaan tempoh hari berkenaan dengan perkara ini, yang diungkit dan dibangkitkan ialah 112D yang sepatutnya tidak berbangkit kerana ia tidak dirujuk langsung tentang hak perlembagaan Sabah iaitu 112C. Dan yang kedua, bahawa Hak Perlembagaan Sabah dalam Perkara 112C ini adalah istimewa kepada Sabah sahaja,” jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi.

Ujarnya, pewartaan Warta Kerajaan Persekutuan Pada 20 April 2022 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) Tahun  2022, tidak ada kena mengena dengan langkah melaksanakan hak Perlembagaan Sabah dalam Hal Perkongsian Hasil.

“Demikian juga pada Warta Kerajaan Persekutuan Pada 24 November 2023 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) Tahun 2023.

“Oleh itu, Tuaran meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengambil langkah-langkah positif untuk menyediakan mekanisme melaksanakan tuntutan Hak Perlembagaan Sabah tersebut,” tegasnya.