
KOTA KINABALU, SABAH – Delegasi Agensi-Agensi Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang diketuai oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud selaku Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia telah membuat Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sabah di Menara Kinabalu Selasa kelmarin.
Pertemuan itu telah membincangkan pelbagai perkara khusus bagaimana KSM dapat membantu Kerajaan Negeri dalam memantapkan kemahiran pekerja dan pembinaan modal insan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata penekanan dan fokus utama akan dibuat untuk membantu meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat GLC Sabah melalui HRD Corporation yang menyediakan latihan-latihan peningkatan kemahiran.
“Kementerian dan Kerajaan Negeri juga akan berkerjasama dalam melahirkan tenaga-tenaga mahir melalui Module TVET dan memastikan kadar pengangguran di negeri ini dapat dikurangkan melalui program-program Pameran Kerjaya yang dilaksanakan oleh PERKESO,” katanya.
Turut hadir pada Kunjungan Hormat tersebut adalah ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Sabah dan ADUN Inanam, Peto Galim serta ketua-ketua Jabatan Kementerian Sumber Manusia yang berpangkalan di Sabah.