KUANTAN, PAHANG – Seorang pesara guru wanita berusia 61 tahun kerugian RM92,000 selepas diperdaya Macau Scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang dipetik Berita Harian berkata, mangsa dilaporkan telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Tabung Haji, pada Julai lalu.
“Mangsa didakwa telah menerima wang dana Tabung Haji sebanyak RM12,988 dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram…
“Mangsa telah mengikut arahan suspek dengan memberi maklumat akaun miliknya dan turut membuka akaun bank bagi tujuan dana ikat jamin kerana terlalu takut.
“Pada awal Disember lalu, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati pengeluaran wang ke akaun pihak ketiga sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM92,000 iaitu wang pencen pengadu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Dalam kes terbabit, Ramli berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak melayan panggilan daripada nombor atau pihak yang tidak dikenali.
Jangan takut atau cemas jika dimaklumkan bahawa telah terbabit dengan jenayah.