KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) yang baharu di Kota Kinabalu, Bapak Noorman Effendi, di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini pada Isnin.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Noorman atas pelantikannya sebagai Konsul Jeneral Republik Indonesia yang baharu dan menyatakan keyakinan bahawa hubungan diplomatik antara Sabah dan Republik Indonesia akan terus diperkukuh.
Beliau turut berharap agar hubungan dua hala yang erat selama ini dapat dipertingkatkan lagi khususnya dalam aspek ekonomi, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja, yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua wilayah.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai usaha memperkukuh jaringan hubungan rakyat dengan rakyat antara Sabah dan wilayah-wilayah di Indonesia yang berkongsi banyak persamaan dari segi geografi dan budaya.
Hajiji turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Republik Indonesia dalam pelbagai bidang bagi mempererat lagi hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara jiran.






