Polis Bukit Aman Menahan Aktivis Jufazli

Polis Bukit Aman Menahan Aktivis Jufazli

0
SHARE
Jufazli dengan plakad bertulis "#BEBASKAN JUFAZLI" di hadapan perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum masuk memberi keterangan.

KUALA LUMPUR – Aktivis Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar jam 3 petang, hari Ahad,  ketika hadir untuk memberi keterangan.

Siasatan dijalankan ekoran dakwaannya mengenai konspirasi kebakaran kawasan setinggan di Tawau baru-baru ini yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook miliknya berdurasi 32.09 minit pada 5 September lalu.

Jufazli disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Setelah kira-kira sejam, Jufazli dilihat dibawa keluar dengan kereta polis diiringi kenderaan lain. Ketika ditemui, peguamnya Rajsurian Pillai berkata, penahanan polis itu dibuat bagi meneruskan siasatan di IPD Tawau.

“Dia ditangkap jam 3 (petang), polis beri sebab penahanannya untuk bawa balik ke Tawau kerana laporan pengadu dibuat di Tawau.

“Selepas ini, polis akan buat serbuan (di kediaman) sebelum dibawa hantar ke IPD Dang Wangi.

“Polis telah rampas telefon bimbit sebagai bahan bukti. Polis akan buat serbuan di tempat tinggal dia di sini sebagaimana prosedur. Jika jumpa apa-apa (bahan bukti) (polis) ambil, kalau tak jumpa, tak adalah,” ujarnya

Menurutnya, Jufazli turut berhadapan kemungkinan direman bagi tempoh satu sehingga dua hari.

“Esok pagi antara dua benda (kemungkinan berlaku), akan direman mungkin satu atau dua hari. Selepas itu (polis) beli tiket dan hantar dia balik atau, jika sempat beli tiket terus (hari ini), mungkin tak reman, hantar ke Tawau,” katanya.

Dalam kenyataannya di Facebook kira-kira tiga jam sebelum tiba di Bukit Aman, aktivis yang berasal dari Semporna itu berkata cabaran yang dilaluinya merupakan proses kemenangan rakyat Sabah.

“Apabila rakyat berkata benar di hadapan kerajaan, terus ditangkap.

“Aku tidak akan duduk diam. Aku sudah menang dan akan menang lagi untuk bela nasib rakyat Sabah…,” katanya.

Sejak tahun lalu, ini kali ketiga Jufazli telah dan sedang disiasat polis. Pada Jun lalu, aktivis itu telah disiasat dibawah Seksyen 4 Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia manakala pada November 2016, beliau disiasat di bawah Akta Komunikasi dan MultiMedia.