SANDAKAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa berusaha membantu dan tidak akan mengabaikan rakyatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, rakyat tidak diabaikan dan dibiarkan terus dibelenggu masalah.
“Kerajaan GRS sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakyat dan amat prihatian kepada rakyat,” katanya di sini pada Rabu.
Hazem berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lot Tanah Rizab Anak Negeri di Kampung Sungai Batang.
Hazem yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, Kerajaan GRS komited dalam membawa kesejahteraan bagi dinikmati oleh rakyat.
Menurutnya, pelbagai bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan dan semuanya adalah untuk rakyat.
Dalam pada itu Hazem memberitahu, masalah yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Sungai Batang sememangnya diberi perhatian.
“Kita akan berusaha untuk mengatasi masalah bekalan air, perparitan dan jalan masuk … perkara ini memang diberikan perhatian,” katanya dan menambah telah meminta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan tampil membantu.
“Selaku ADUN Sungai Manila, saya juga komited untuk membawa kesejahteraan dan akan berusaha memastikan masalah rakyat dapat diatasi,” katanya lagi.






