KUALA LUMPUR – Perlawanan antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, menjadi ‘kecoh’ apabila insiden pergaduhan diantara kedua-dua penyokong tercetus.
Difahamkan, kejadian tersebut bermula apabila sekumpulan penyokong pasukan pelawat melakukan provokasi terhadap sekelompok penyokong tuan rumah pada penghujung perlawanan.
Insiden berkenaan telah membawa kepada situasi berbalas balingan objek…
Pendahulu Liga Perdana itu tewas 1-2 di tangan Perak dan penyokong skuad Perak FC dilihat meraikan kemenangan mereka di atas padang sambil sesetengahnya terus melakukan provokasi ke arah penyokong Kelantan FC.
Dalam beberapa klip video tular di laman media sosial, penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan untuk keluar dari stadium selepas wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu, pemain Perak FC juga dikatakan terpaksa ‘berlindung’ di tengah stadium bagi mengelak daripada mencetuskan perkara tidak diingini daripada berlaku.
Ini kerana penyokong Kelantan FC mengepung kawasan stadium sehingga menutup laluan keluar.
Bukan itu sahaja, bas dipercayai dinaiki pemain Perak FC turut dibaling dengan objek seperti botol air dan batu oleh kelompok penyokong dipercayai penyokong Kelantan FC.
Gambar cermin bas yang pecah selepas dibaling dengan objek turut menjadi tular di laman media sosial.