Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna 2024-2028 Dilancarkan

Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna 2024-2028 Dilancarkan

0
SHARE
Joachim
Dr. Joachim (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna bagi tempoh 2024 hingga 2028 ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

SEMPORNA, SABAH – Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam semalam melancarkan Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna bagi tempoh 2024 hingga 2028, yang memfokuskan kepada tiga teras strategik utama.

Pelan tersebut yang dibangunkan melalui bengkel pada awal Mac 2023, merangkumi 13 strategi dan 33 program yang dijangka akan dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kejayaan pelan strategik ini bergantung kepada komitmen penuh seluruh warga kerja Majlis Daerah Semporna dan sokongan kukuh daripada Ahli Majlis Daerah.

Katanya, usaha bersama dan tanggungjawab yang diambil dengan bersungguh-sungguh adalah kunci kepada pencapaian matlamat pelan.

Beliau turut menggesa warga Majlis Daerah Semporna dan Ahli Majlis Daerah untuk bersatu demi merealisasikan visi Majlis Daerah Semporna sebagai sebuah organisasi yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ini penting supaya Semporna boleh menjadi sebuah daerah yang cemerlang dalam pelbagai aspek,” katanya pada majlis pelancaran yang diadakan bersempena Program Lawatan Kembara beliau untuk memantau perkembangan terkini di Semporna, khususnya di Pejabat Majlis Daerah Semporna.

Dalam program tersebut, Joachim turut melawat Tapak Projek Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), yang mencadangkan pemindahan penduduk Kampung Air ke kawasan Jalan Seri Melor – Tinagayan, Semporna.

Pihaknya dimaklumkan bahawa daerah Semporna telah mengalami perubahan, di mana kerja-kerja membersihkan sampah telah dimulakan.

Beliau berharap usaha ini akan diteruskan agar daerah ini menjadi lebih bersih dan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain itu, beliau menyeru agar Majlis Daerah Semporna mensasarkan matlamat untuk mendapat pengiktirafan sebagai “Asean Clean Tourist City Standard” yang akan memberikan nilai tambah dan impak yang lebih besar kepada pelancong.

Semporna yang merupakan sebuah destinasi pelancongan terkenal di seluruh dunia, dibelenggu isu sampah sudah sekian lama yang menjadi cabaran utama daerah.

Justeru, Majlis Daerah Semporna turut disarankan mempelbagaikan usaha untuk menjadikan Semporna sebagai daerah dan destinasi pelancongan yang bersih dan indah.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Jonnybone J. Kurum; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau; Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Semporna, Alexander Liew; dan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Muhammad Sobri Zainul.