Konsert Biru Mata Hitamku 30 Tahun Satukan Semula Wings

Konsert Biru Mata Hitamku 30 Tahun Satukan Semula Wings

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas tiga dekad, Mus, JoBranko, Black dan Eddie kembali bergabung bagi menghidupkan semula magis album ikonik Biru Mata Hitamku menerusi konsert ulang tahun ke-30 pada 5 September ini di Mega Star Arena.

Album yang diterbitkan pada 1996 itu merupakan karya pertama Wings bersama Mus sebagai vokalis utama, sekali gus melahirkan lagu malar segar seperti Biru Mata Hitamku, Makam Kekasih, Jika Kau Tahu dan Enigma.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, penganjuran konsert tersebut bukan sekadar meraikan ulang tahun album, malah membuktikan kekuatan sesebuah kugiran terletak pada kualiti karya yang mampu bertahan merentasi zaman.

“Album ini mungkin pernah dianggap underrated, namun lagu-lagunya terus hidup dan kekal menjadi kegemaran peminat sehingga hari ini,” katanya.

JoBranko pula menyifatkan album berkenaan sebagai antara yang paling penting dalam perjalanan Wings, selain pernah memenangi anugerah Kulit Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996.

Konsert itu dijangka membawa konsep ringkas dengan tema warna hitam, sambil menyajikan malam penuh nostalgia kepada peminat muzik rock tempatan.

Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary akan berlangsung pada 5 September 2026 (Sabtu), jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dengan tiket dijual melalui Ticket2U.