55 Jemaah Haji dari Sepanggar Terima Sumbangan, Bantu Permudah Urusan Persiapan ke...

55 Jemaah Haji dari Sepanggar Terima Sumbangan, Bantu Permudah Urusan Persiapan ke Tanah Suci

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 55 bakal jemaah haji dari Parlimen Sepanggar yang dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 11 Mei depan menerima sumbangan khas sebagai persiapan awal bagi memudahkan urusan ibadah mereka.

Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, sumbangan tersebut merupakan inisiatif tahunan Parlimen Sepanggar dalam membantu jemaah membuat persediaan sebelum berangkat.

“Bagi pihak Parlimen, kita telah beri sumbangan seperti tahun-tahun sebelum ini untuk mempermudahkan urusan jemaah haji dalam memulakan keberangkatan ke Tanah Suci.

“Kita juga mendoakan agar semua jemaah haji dari negara ini sentiasa sihat, dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan kembali dengan selamat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sumbangan Jemaah Haji Parlimen Sepanggar, di sini, hari ini.

Mengulas kebimbangan berkaitan situasi global semasa, beliau menasihatkan semua bakal jemaah agar sentiasa mematuhi panduan serta arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Luar Negeri Malaysia.

“Bakal jemaah haji perlu sentiasa mendengar nasihat daripada Tabung Haji dan mengikuti arahan semasa daripada Kementerian Luar Negeri. Sekiranya berlaku sebarang masalah di Tanah Suci, segera hubungi Tabung Haji supaya tindakan dapat diambil dengan cepat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mustapha turut memberi jaminan bahawa kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia terpelihara sepanjang musim haji.

“Kerajaan melalui Tabung Haji telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan perjalanan jemaah haji. Menteri agama juga telah ke Arab Saudi untuk berbincang dengan kerajaan di sana bagi memastikan jemaah kita dapat menunaikan ibadah dengan selamat.

“Jadi saya harap semua tidak perlu gusar. Insya-Allah, langkah-langkah yang diambil mampu menjamin keselamatan jemaah haji kita,” katanya.