PM Setuju Percepat Penyaluran Dana Awal RM100 Juta Tabung Wakaf MARA

PM Setuju Percepat Penyaluran Dana Awal RM100 Juta Tabung Wakaf MARA

0
SHARE
Asyraf
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf MARA Madani.

Memetik sumber Berita Harian, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata proses itu akan dilaksanakan sebaik MARA mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Mutawalli.

“Tabung Wakaf MARA ini penting untuk dimanfaatkan bagi membantu pelajar-pelajar MARA dikalangan Melayu-Bumiputera yang susah dan dari keluarga berpendapatan rendah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri setuju untuk mempercepatkan penyaluran dana awal RM100 juta kepada Tabung Wakaf MARA Madani setelah MARA mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai Mutawalli,” katanya menerusi Facebook beliau, semalam.

Terdahulu, beliau membawa cadangan pelaksanaan tabung berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera, hari ini, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, semoga inisiatif tabung ini dapat membantu lebih ramai lelajar susah dan kurang berkemampuan.

Anwar ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Mac lalu, mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta serta menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri berkata, sistem wakaf itu akan diterajui MARA dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA, selari dengan hasrat penubuhan agensi berkenaan.

Asyraf sebelum ini turut memaklumkan kesudian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menjadi penaung Tabung Wakaf MARA MADANI akan menambah kredibiliti penubuhan tabung itu serta menjadi cerminan agenda pemerkasaan Bumiputera.