Tiga Premis Kotor Anjung Selera Likas Diarahkan Tutup

Tiga Premis Kotor Anjung Selera Likas Diarahkan Tutup

0
SHARE
Jkns
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengeluarkan empat notis kompaun dan mengarahkan tiga premis makanan di Anjung Selera, Likas ditutup pada Khamis.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna berkata kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 32B dan penutupan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Notis kompaun yang telah dikeluarkan adalah disebabkan oleh kegagalan memastikan premis berada dalam keadaan yang bersih dan pengendali makanan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan atau suntikan anti-tifoid,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Jelasnya, Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu telah mengadakan satu operasi penguatkuasaan Akta Makanan 1983 yang memeriksa sebanyak 14 buah premis makanan.

Ianya melibatkan kakitangan daripada Unit Inspektorat, PKK Kota Kinabalu dengan kekuatan seramai 22 pegawai penguat kuasa.

“Tujuan operasi ini adalah bagi memastikan semua premis makanan di kawasan Anjung Selera, Likas memenuhi keperluan kebersihan premis seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Operasi ini termasuklah pemeriksaan tempat penyediaan dan penyimpanan makanan, kebersihan pengendali makanan termasuklah status vaksinasi anti-tifoid, rekod menghadiri kursus pengendalian makanan, pemeriksaan Kesihatan, dan pakaian semasa mengendalikan makanan,” tambahnya.

Beliau menasihati orang ramai untuk memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa peka dalam aspek keselamatan makanan.

“Semua pengendali makanan juga turut diingatkan untuk mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai.

“Orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan isu keselamatan makanan,” katanya.