Penggantian Saluran Paip Lama Kepada Paip Baharu Sedang Giat Dilaksana

Penggantian Saluran Paip Lama Kepada Paip Baharu Sedang Giat Dilaksana

0
SHARE

PUTATAN: Kerajaan kini sedang giat melaksanakan program menggantikan saluran paip lama kepada paip baharu di beberapa kawasan yang dikenal pasti bagi mengelak kejadian paip pecah dan gangguan bekalan air di negeri ini, lapor Sabah Media.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ada beberapa tempat yang mempunyai paip berusia lebih 30- 50 tahun berisiko mengalami paip pecah.

“Kita mempunyai jumlah panjang paip yang ada adalah lebih 1,500 kilometer, ini termasuk paip lama dan paip baharu.

“Justeru, ada di beberapa tempat seperti di Papar, Sandakan dan bandar-bandar lain yang mana paip-paipnya sudah lebih 30 – 50 tahun yang mempunyai risiko pecah dan tersasar itu ada terjadi, namun kejadian ini dipantau oleh jurutera-jurutera air daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar Cemerlang SPM 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Parlimen Putatan di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan situasi terkini bekalan aor di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, setakat bulan Jun ini operasi pemotongan sambungan air haram yang telah dilaksana dan kini giat dilaksana di penempatan setinggan khususnya di sekitar Sepanggar berhasil menstabilkan bekalan air masuk ke tangki di UMS.

“Namun demikian, ia perlu terus dipantau dan dilakukan kerana apa yang telah kita alami pada tahun ini dan juga tahun-tahun sebelumnya, selepas pemotongan dibuat dalam beberapa jangka waktu akan terus dibuat sambungan semula.

“Jadi inilah antara cabaran-cabaran yang kita hadapi dan kita mencari mekanisme bagaimana untuk meminimakan keadaan ini,” jelasnya.