LOS ANGELES – Pelakon Johnny Wactor, yang terkenal dengan kerjanya dalam drama ‘General Hospital’ maut ditembak di Los Angeles, menurut keluarga dan pihak polis.
Ibunya, Scarlett Wactor, mengesahkan kematiannya kepada NBC News. Arwah berusia 37 tahun.
Scarlett menggambarkan anaknya sebagai sebuah “cahaya dalam bilik gelap”.
“Terdapat luka besar dalam diri kami semua, dan tidak ada penyelesaiannya,” katanya.
Pengurus Johnny, Marco Cuadros berkata ia sesuatu tragedi yang tidak masuk akal.
“Johnny Wactor adalah orang yang baik, pelakon berbakat dan inspirasi kepada orang-orang di sekelilingnya
“Profesionalismenya, semangatnya dan cintanya terhadap krafnya menular dan menjadikannya sangat gembira untuk bekerja dengannya.
“Dia mengejar impiannya dan mencapainya, sambil terus sebagai manusia baik untuk menjaga orang lain,” katanya.
Ejen Wactor, David Shaul, berkata dalam satu kenyataan kepada Variety bahawa dia seorang pekerja yang berdedikasi dan seorang yang boleh dicontohi.
“Dalam suka dan duka dalam profesion yang mencabar, dia sentiasa menopang dagunya dan terus berusaha untuk yang terbaik,” kata Shaul.
“Selepas lebih sedekad bersama, dia akan meninggalkan ‘lubang’ di hati kami selama-lamanya,” katanya.
Polis Los Angeles, yang tidak mengesahkan identiti si mati walau bagaimanapun menawarkan naratif kejadian itu.
“Kira-kira jam 3:25 pagi Ahad, mangsa terserempak dengan tiga orang sedang dipercayai mencuri penukar pemangkin dari sebuah kereta berhampiran Pico Boulevard dan Hope Street.
“Salah seorang daripada tiga melepaskan tembakan yang mengenai mangsa dan disahkan meninggal dunia,” kata polis.