Baca, Hayati Al-Quran Angkat Darjat, Wibawa

Baca, Hayati Al-Quran Angkat Darjat, Wibawa

0
SHARE
Norlidah
Toh Puan Norlidah ketika berucap pada majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Membaca dan menghayati ayat suci Al-Quran mampu mengangkat darjat dan wibawa seseorang ke arah yang lebih baik.

Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni berkata, melazimkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian mendatangkan banyak keberkatan dalam kehidupan.

“Umat Islam diberikan kemuliaan oleh Allah SWT yang mana salah satu jaminan kemuliaan adalah melalui Al-Quran, Al-Quran memberikan jaminan kemuliaan kepada sesiapa yang membacanya, mengkaji dan seterusnya mengamalkan isinya kandungannya.

“Memandangkan kita baru sahaja berpisah dengan bulan Ramadhan yang mulia yang juga dikenali sebagai bulan Al Quran, tetapi tidak bermakna kita akan meninggalkan pembacaan Al-Quran sebaliknya kita haruslah melazimkan diri dengan membaca kandungannya dalam kehidupan sehari-hari.

“Pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha mendekatkan diri dengan kitab suci Al-Quran antaranya, dengan menghadirkan diri ke kelas yang diadakan dari masa ke masa seperti sekarang, saya difahamkan majlis bacaan Yasin kita hari ini menggabungkan peserta dari beberapa kelas pengajian sekitar Daerah Ranau yang hadir bersama-sama kita mengalunkan bacaan Al Quran,” ujar beliau.

Toh Puan Norlidah berharap agar penggabungan tersebut dapat memberi peluang untuk bersilaturrahim seterusnya bertukar fikiran dalam usaha menekuni ilmu Al-Quran juga ilmu dalam bidang fardhu ain dan fardhu kifayah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bacaan Yasin Daerah Ranau di sini yang dihadiri seramai 100 peserta. — JABATAN PENERANGAN SABAH