Cubaan Seludup Produk Kosmetik Bawah Pisang Digagalkan

Cubaan Seludup Produk Kosmetik Bawah Pisang Digagalkan

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Sebuah bot kargo tempatan yang menyembunyikan pelbagai produk kosmetik tanpa permit di bawah muatan hasil pertanian berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur telah berjaya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke perairan Tawau.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan Sungai Pukul itu mendapati seorang lelaki pemegang pasport warga Indonesia berusia 35 tahun bertindak selaku juragan membawa muatan hasil pertanian iaitu pisang.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan pelbagai barangan kosmetik yang disembunyikan di bawah timbunan pisang di dalambot tersebut dipercayai produk dari negara jiran.

“Pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barangan kosmetik yang dibawa,” katanya.

Antara produk yang ditemukan di dalam bot tersebut 423 set kosmetik, 264 botol minyak angin pelbagai jenama, 200 botol penyembur deodorant pelbagai jenama dan beberapa produk kesihatan yang didaftarkan di negara jiran.

Bot, muatan serta juragan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM56,000.