KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan keyakinan bahawa tidak akan ada pertembungan yang berlaku diantara mereka dengan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) – 15 kelak.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata GRS dan BN telah membuat perjanjian bahawa mereka tidak akan bertanding sesama sendiri bagi merebut kerusi Parlimen.
“Di mana calon GRS bertanding, BN kena sokong dan di mana calon BN bertanding, GRS kena sokong. Itu prinsip kerjasama kita jadi kita mesti ada satu jajaran atau konsep politik di Sabah…
“Kita sudah lama bergaduh jadi saya harap tidak perlulah berlawan-lawan, jangan pasang calon macam-macam.
“Dalam PRU musuh politik kita adalah parti pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan (PH), DAP dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-25, Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji turut menegaskan pihaknya berpegang teguh kepada perjanjian diantara GRS dan BN yang telah termerterai pada 8 Januari 2021.
Menurutnya, keadaan politik di Sabah agak unik dan berbeza berbanding di peringkat Persekutuan.
“Saya telah nyatakan kepada pimpinan diperingkat Persekutuan sama ada BN atau Perikatan Nasional (PN), jangan ganggu kita di Sabah…
“Kita pegang kepada persefahaman dan janji kerana kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah. Buat apa kita gaduh?
“Kita mahu satu keadaan stabil supaya kita dapat merancang dan melaksanakan program dibawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ). Mereka pun faham,” katanya.
Hajiji yang juga merupakan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah turut memberitahu pemberita pihaknya telah selesai membuat senarai pendek dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon tiba.