KENINGAU: Tiga individu termasuk seorang wanita masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM15,000 gagal bayar satu tahun penjara selepas didapati bersalah memandu ketika mabuk pada awal tahun ini.
Manakala, seorang lelaki lagi dijatuhkan hukuman kesalahan kali kedua, iaitu tiga bulan penjara dan denda RM20,000 gagal bayar denda dua tahun penjara dan mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol pada awal tahun ini semasa operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Keningau di sekitar Bandar Keningau.
Menurut kenyataan media IPD Keningau, tertuduh yang berusia dalam lingkungan 30-an sehingga 60-an, membuat pengakuan bersalah itu di Mahkamah Keningau di sini, hari ini, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.
“Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol di daerah Keningau pada awal tahun ini.
“Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana mengikut kesalahan penjara tidak melebihi dua tahun dan denda Minimum RM10,000 dan tidak lebih RM30,000.
“Bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun dan denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Insp Abdullah Hussain @ Che Mat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dinasihatkan kepada orang ramai supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol tambahan pula pada musim-musim perayaan ini bagi mengelakkan berlaku kemalangan yang melibatkan nyawa. Sentiasa mematuhi undang-undang, ingatlah orang yang tersayang dan menjaga keselamatan diri di jalan raya.






