HONG KONG – Seorang lelaki di sini bakal berdepan hukuman denda sehingga HK$200,000 (RM109,012) dan TIGA (3) tahun penjara kerana melakukan penganiayaan ke atas siput babi.
Memetik kenyataan portal berita atas talian Coconut baru-baru ini, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun selepas didakwa melakukan perbuatan khianat ke atas haiwan itu apabila membunuh TIGA (3) ekor siput babi menggunakan taburan garam.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah kolam air pancut di Tsim Sha Tsui yang mana suspek dilihat menaburkan garam ke atas siput babi berkenaan.
Apabila perbuatannya dihalang, suspek itu berkata kewujudan siput babi adalah ancaman pada keseimbangan ekosistem alam semulajadi.
Susulan laporan orang ramai, polis segera menahan suspek itu yang merupakan pelajar doktor falsafah jurusan sains komputer dan merampas pakaian yang dipakai ketika melakukan jenayah tersebut.