Seorang Lelaki Meninggal Dunia Akibat Selesema Burung

Seorang Lelaki Meninggal Dunia Akibat Selesema Burung

0
SHARE

PHNOM PENH – Seorang lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja.

Kementerian Kesihatan negara itu dalam satu kenyataan yang dipetik AFP berkata, ia adalah kematian kedua akibat virus berkenaan yang direkodkan di negara terbabit tahun ini.

Katanya, ujian mengesahkan lelaki itu berasal dari wilayah timur Svay Rieng bersempadan dengan Vietnam dan positif virus selesema burung H5N1 sejak 7 Oktober lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga selepas selesema burung dikesan pada mamalia, namun menegaskan bahawa risiko kepada manusia adalah rendah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)…

Penyakit itu biasanya merebak dari burung ke manusia melalui sentuhan langsung.

Pegawai berkata mereka sedang meneliti punca jangkitan dan sedang memeriksa mana-mana kes yang disyaki atau orang yang mungkin pernah berhubung dengan mangsa.

Kementerian itu berkata, kira-kira 50 ekor ayam, sebahagiannya milik lelaki itu dan sebahagian lagi milik jirannya, mati baru-baru ini.

“Ayam-ayam yang mati itu dikongsi bersama penduduk kampung untuk dimakan,” katanya.

Kementerian menggesa penduduk kampung supaya berwaspada terhadap H5N1, yang masih mengancam kesihatan orang ramai, terutamanya kanak-kanak.

Kes itu adalah kes selesema burung ke-58 direkodkan sejak virus itu melanda Kemboja dua dekad lalu.

Pada Februari lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sebelas tahun meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Sejak akhir 2021, Eropah dicengkam oleh wabak selesema burung yang paling buruk, dengan Amerika Utara dan Selatan turut mengalami wabak yang teruk.

Pengesanan penyakit itu baru-baru ini dalam beberapa mamalia, termasuk musang, memerang, cerpelai, singa laut dan juga beruang, mencetuskan kebimbangan bahawa manusia mungkin lebih berisiko.