LABUAN – Pertarungan futsal di gelanggang Jalan Tanjung Purun sini bertukar menjadi gaduh apabila pemain dan penyokong kedua-dua pasukan mula bertumbuk luar gelanggang pada Sabtu lepas.
Memetik laporan Bernama, pihak polis menahan 18 individu berusia antara 17 hingga 32 tahun susulan kes 1 tengah hari yang tular di media sosial.
Pergaduhan berkenan didakwa membabitkan menumbuk, menendang, dan membaling objek menyebabkan seorang pemain mengalami kecederaan di kepala.
Timbalan Ketua Polis Labuan Robin @ Ridzuan Ismail mengesahkan kejadian itu.
“Kami telah melihat video berdurasi 22 saat yang menunjukkan pergaduhan, dan individu yang terlibat dalam pergaduhan itu telah diberkas pada hari yang sama.
“Individu ini telah ditahan dan kini berdepan perintah reman selama tiga hari untuk memudahkan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menggesa mereka yang menyaksikan kejadian itu tampil ke hadapan dan membantu dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.





