KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri telah mengutip sebanyak RM1.79 bilion cukai jualan negeri (CJN) bagi produk petroleum yang dikeluarkan di Sabah pada tahun ini.
Menteri Kewangan II Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah terbabit melebihi sasaran kutipan yang dianggarkan sebelum ini iaitu sebanyak RM1.1 bilion.
“Sukacita saya maklumkan bahawa jumlah hasil CJN produk petroleum yang telah dikutip adalah lebih tinggi daripada apa yang kita jangka dan dianggarkan untuk tahun ini.
“Setakat 28 November 2022, kita telah menerima RM1.79 billion daripada cukai jualan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee berhubung jumlah CJN yang dianggarkan pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas di Sabah ketika sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.





