KOTA KINABALU: Tuntutan Filipina ke atas Sabah yang cuba dihidupkan semula disifatkan sebagai bersifat politik dan tidak mempunyai asas kukuh dari segi undang-undang antarabangsa, kata seorang pakar hubungan antarabangsa.
Pensyarah Kanan Hubungan Antarabangsa, Marja Azlima Omar berkata, seruan terbaharu oleh Robin Padilla itu bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang telah mantap serta tidak mencerminkan realiti semasa di Sabah.
“Tuntutan ini bukan sahaja tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh, malah bersifat politik dan terpisah daripada realiti kehidupan rakyat Sabah hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dari sudut undang-undang antarabangsa, kedaulatan Sabah adalah jelas berdasarkan prinsip penguasaan dan pentadbiran berkesan (effectivités), di mana Malaysia telah melaksanakan kuasa secara berterusan sejak pembentukan Persekutuan pada 1963.
Katanya, prinsip itu selari dengan keputusan kes di International Court of Justice seperti Ligitan dan Sipadan (2002) serta Pedra Branca (2008), yang menegaskan kepentingan pentadbiran berterusan dalam menentukan kedaulatan wilayah.
Selain itu, Marja menegaskan bahawa prinsip penentuan nasib sendiri turut menjadi faktor utama yang mengukuhkan kedudukan Sabah dalam Malaysia, susulan proses konsultasi yang difasilitasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Suruhanjaya Cobbold pada 1962.
“Prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf sebagai jus cogens dalam undang-undang antarabangsa tidak boleh diketepikan oleh mana-mana tuntutan sejarah atau dinasti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan berasaskan perjanjian lama antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada 1878 tidak lagi relevan dalam konteks undang-undang semasa.
Menurutnya, doktrin penggantian negara serta kegagalan untuk menegaskan tuntutan secara konsisten dalam tempoh panjang menjadikan tuntutan tersebut tidak lagi berdaya maju.
“Dalam undang-undang antarabangsa, kelewatan bertindak boleh ditafsirkan sebagai penerimaan secara tersirat, sekali gus melemahkan asas tuntutan,” katanya.
Tambah beliau, prinsip integriti wilayah dalam sistem undang-undang antarabangsa turut menghalang sebarang tuntutan unilateral yang boleh menjejaskan kedaulatan sesebuah negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sabah bukan lagi isu wilayah yang belum selesai, sebaliknya sebuah negeri yang sah dalam Malaysia dengan identiti dan masa depan yang telah kukuh.
“Seruan untuk menghidupkan semula tuntutan mungkin menarik perhatian politik, namun ia tidak mengubah kedudukan undang-undang mahupun realiti di lapangan,” katanya.






