60 Kes Diesel Direkod, Rampasan Lebih RM2.1 Juta Dalam Ops Tiris 4.0...

60 Kes Diesel Direkod, Rampasan Lebih RM2.1 Juta Dalam Ops Tiris 4.0 – Fadillah

0
SHARE

PUTRAJAYA: Sebanyak 60 kes melibatkan penyeludupan dan penyelewengan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta direkodkan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) sepanjang tempoh 16 Mac hingga 5 April lalu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 8,148 pemeriksaan yang turut menghasilkan keseluruhan 155 kes membabitkan pelbagai barang kawalan.

Menurutnya, selain diesel, sebanyak 47 kes melibatkan petrol RON95 dengan nilai rampasan RM51,299, diikuti 21 kes melibatkan LPG (RM37,822) serta 27 kes berkaitan minyak masak, gula dan tepung gandum turut direkodkan.

“Pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) ini adalah sebahagian daripada langkah tegas kerajaan dalam memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan ketirisan dan penyeludupan barang kawalan dapat dibanteras secara menyeluruh,” katanya semalam.

Beliau berkata, pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 11 Mac lalu menjadi pemangkin utama kepada penyelarasan operasi bersepadu tersebut.

Jelasnya, jawatankuasa itu menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Dalam memastikan keberkesanan operasi, kerajaan turut menetapkan agensi peneraju mengikut sektor iaitu KPDN bagi sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kawasan sempadan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi sektor perairan.

Tambah beliau, tindakan tegas termasuk penggantungan dan pembatalan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Selain itu, kerajaan juga akan memperketat kawal selia aktiviti bunkering serta menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak bagi memperkukuh pemantauan di peringkat negeri.

Fadillah berkata, langkah memperluaskan pelaksanaan SKDS melalui penggunaan fleet card bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dilaksanakan sebagai usaha memperkemas sistem pengagihan subsidi diesel.

“Kerajaan amat prihatin terhadap ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat yang boleh menjejaskan rantaian bekalan serta kestabilan harga tenaga.

“Namun, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan kerana langkah kesiapsiagaan telah diperkukuh bagi memastikan keterjaminan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal,” katanya.