KOTA KINABALU, SABAH – Daerah ini mempunyai kadar kekerapan panggilan kecemasan berkaitan kes lemas yang tertinggi iaitu sebanyak 17 kes yang melibatkan 28 orang mangsa sejak 2019.
Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sebanyak 114 panggilan kes lemas yang melibatkan 139 mangsa diterima dalam dalam tempoh tiga (3) tahun tersebut.
Pengarah JBPM Sabah, Mohd Ali Ismail menjelaskan bahawa daripada angka tersebut, sebanyak 91 kes mangsa telah meninggal.
“Mereka terdiri daripada 77 orang mangsa lelaki dan 14 orang mangsa perempuan, manakala seramai 39 mangsa yang terselamat dan sembilan (9) lagi masih dalam siasatan atau tidak diketahui,” katanya.
Daerah Kota Kinabalu diikuti daerah Tawau dengan sebanyak 11 panggilan kes yang melibatkan 12 orang mangsa.
Manakala daerah Kota Belud dan Lahad Datu masing-masing 10 panggilan kes dan melibatkan 11 orang mangsa.





